Program Nature's Care Day telah pun berlalu, dan telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Seperti yang dirancang, semua aktiviti berjalan dengan baik, walaupun ada sedikit kelewatan masa, tapi itu tidaklah begitu ketara. Bagi saya, biro program Atif Kembo telah melaksanakan tugasnya dengan baik.
Para peserta memberikan kerjasama yang baik bersama para AJK yang terlibat. Tiada sebarang masalah komunikasi berlaku walaupun ada seorang peserta foreigner menyertai program ini. Kami terpaksa menerangkan semuanya dalam bahasa inggeris, dan hendak bertutur dengan lancar, jauh sekali. Asalkan ada bunyi orang putih pun jadilah. Kembo juga mangsanya. Mujurlah ada seorang sahaja, kalau sepuluh mahu terbelit juga lidah ni. Silap hari bulan, bahasa jawa pula yang keluar.
Bertolak dari The Loop Uniten kira-kira pukul 12.30 tengah hari. Bas sampai tepat pada masanya, dan tidak menyukarkan para AJK memikirkan sebarang kelewatan. Perjalanan ke Taman Negara Endau-Rompin agak lama, kira-kira 5 jam. Tiba di sana tepat sebelum masuknya maghrib. Sedang elok untuk kami memasang semua khemah dan menguruskan diri.
Peserta diberikan masstin dan bahan-bahan memasak yang lain untuk memasak. Waktu makan telah ditetapkan oleh biro program.
Hari pertama berada di sana, aktiviti pertama kami adalah nightwalk. Meredah hutan yang gelap dengan hanya bertemankan lampu suluh. Menarik, langit malam di sana sangat berbeza dengan langit malam di bandar. Bintang bertaburan jelas kelihatan, menunjukkan malam juga ceria, seceria terang matahari siang.
Jungle trekking pula sebagai aktiviti kedua, diadakan pada hari kedua kem ini. Inilah aktiviti yang paling happening untuk biro keselamatan kami Da'a. Tidak sampai beberapa meter berjalan di hutan, ada sahaja yang terkena pacat. Da'a yang penat terpaksa berkejar-kejaran untuk memberikan mereka garam. Benda yang paling popular untuk hari itu, garam. Semuanya tentang pacat dan garam. Perkenalkan, Da'a Si Garam.
Kemudian kami berhenti rehat, makan tengah hari bersama bekal yang di bawa. Wajah yang lesu kembali ceria apabila nasi disuap ke mulut. Sememangnya penat aktiviti jungle trekking ini. Tapi pengalaman mengharungi semua itu tidak ternilai dengan semua rasa letih itu.
Kemuncak aktiviti kami untuk kem ini adalah kayak, yang diadakan pada pagi sebelum kami bertolak pulang ke Pusaka Tersayang. Ramai peserta yang berkata mereka tidak pernah berkayak sebelum ni. Tetapi sejurus turun ke air, amboi bukan main laju mereka mengayuh.Agak jauh juga kami berkayak. Pengalaman yang hebat untuk mereka yang kali pertama menaiki kayak. Ada yang terbalik kayaknya, mujurlah ada baju keselamatan. Sungainya agak dalam juga. Inilah yang dinamakan aktiviti lasak, bukan?
Kami bersiap sedia untuk pulang. Mengemas semua barangan yang dibawa. Menyimpan semula khemah yang didirikan. Tiba saatnya untuk kami berpisah dengan tempat ini. Walaupun cuma tiga hari, kami seronok berada di sini. Banyak memori terukir di sini. Keakraban antara peserta dan juga AJK sudah mula terserlah pada pengakhiran program ini. Semuanya saling beramah mesra antara satu sama lain.
Insyaallah akan diadakan program seperti ini lagi di masa akan datang. Semoga berjumpa lagi di lain waktu, sekian...
Laporan : Azmi Zaim